KUALA KANGSAR: Presiden PAS, Datuk Seri Hadi Awang sekali lagi enggan mengulas bersabit surat sokongan dari ulama tersohor, Dr Yusuf Qaradawi yang dilancarkan Mursyidul Am PAS semalam yang menyatakan sokongan kepada Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk diangkat menjadi perdana menteri.
Beliau yang diserbu media ketika turun dari pentas utama ceramah 'Amanat Putrajaya' semalam terus mengelak dari menjawab soalan diajukan pemberita.
Media yang menunggu sejak dari awal bertindak 'mengepung' Hadi tetapi dihalang oleh pengawal peribadinya.
"Tiada, tiada sidang media!," kata pengawalnya yang cuba menghalang media dari mengajukan beberapa soalan yang berkaitrapat dengan permasalahan PAS sekarang bersama Pakatan Rakyat.
Sementara itu, bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Nizar Jamaluddin yang ditemui Antarapos pula menyifatkan surat sokongan ulama tersebut kepada Ketua Umum PKR untuk menjadi perdana menteri hanyalah pandangan peribadi Qaradawi.
Kata Nizar, apa pun pandangan ulama itu, PAS menghormatinya.
"Saya rasa itu adalah hak peribadi Yusuf Qaradawi, dia sama sokongan dengan pimpinan Pakatan Rakyat maka dia kenal Anwar.
"Maka dia bagi kenyataan, inilah pandangan dia terhadap kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim. Jadi kita kena hormat kepimpinan Yusuf Qaradawi," katanya.
Malah ketika krew Antarapos mengajukan soalan bahawa tindakan Datuk Nik Aziz Nik Mat itu seolah-olah membayangkan PAS bersetuju mengangkat Anwar menjadi perdana menteri, Nizar dilihat lebih selesa memberi jawpan 'selamat'.
"Bukan, itu adalah Yusuf Qaradawi yang kita tidak pertikaikan dia (Yusuf Qaradawi), terima kasih," katanya.
Untuk rekod, Hadi sebelum ini membidas tindakan Anwar yang juga Ketua Umum PKR, yang mahu menggunakan surat sokongan daripada ulama tersohor Dr Yusuf Qaradawi untuk kesinambungan karier politiknya, sekaligus menjadi perdana menteri.
Hadi yang ditemui Antarapos baru-baru ini berkata pihak luar, termasuk Qaradawi tidak patut masuk campur dalam proses pilihan raya di Malaysia.
"Beliau (Yusuf Qaradawi) tidak mengundi di sini, beliau rakyat Qatar, yang berhak ialah pengundi-pengundi," kata Hadi.
Sumber: Penggempur Mutiara
Tiada ulasan:
Catat Ulasan