Isnin, 22 April 2013

'Pakatan' Rakyat Gagal Berpakat



Datuk Seri Najib Tun Razak berkata parti pembangkang yang kononnya mendakwa mereka adalah "pakatan" rakyat sebenarnya gagal berpakat, malah bertanding sesama sendiri di beberapa kawasan pilihan raya umum ke-13 yang akan diadakan pada 5 Mei ini.
 
Perdana Menteri berkata jika untuk bertanding kerusi pilihan raya pun gagal berpakat, "apatah lagi untuk berpakat bagi mengendalikan pemerintahan negara."
 
"Pakatan pembangkang bukanlah satu gabungan yang boleh menjamin masa depan negara dan rakyat. Mereka bukanlah gabungan yang besar, gabungan yang satu, falsafah yang satu.
 
"Ranap negara kita kalau kita beri kepercayaan kepada pihak pembangkang," katanya ketika berucap merasmikan projek perumahan " Sentuhan Kasih Felda" di Felda Chini Timur 2, dekat sini hari ini,lapor Bernama.
 
Najib berkata rakyat perlu bijak menilai pakatan pembangkang kerana mereka tidak melakukan apa-apa pun untuk rakyat.
 
Jika rakyat mahukan perubahan, kerajaan Barisan Nasional (BN) sebenarnya telah banyak melakukan perubahan untuk kesejahteraan rakyat, katanya.
 
"BN pun hendak perubahan, perubahan dari dalam. Kerajaan BN tunjukkan bahawa perubahan dan transformasi dilakukan dari dalam, tak semestinya ubah kerajaan tapi masa depan kita yang berubah (menerusi program transformasi kerajaan BN)," katanya.
 
Penamaan calon pada Sabtu , calon parti PAS dan Parti Keadilan Rakyat (PKR)telah bertanding di kerusi yang sama di Parlimen Labuan dan enam kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Panti (Johor), Sg Acheh (P.Pinang), Kota Damansara (Selangor), Bukit Besi, Kota Putera dan Seberang Takir (Terengganu).
 
Bagi BN, yang mempunyai 13 parti politik yang bergabung dengannya, masalah pembahagian kerusi telah diselesaikan dengan sebaiknya tanpa berlaku pertindihan.
 
Hanya segelintir kecil anggota parti politik gabungan parti itu yang telah keluar parti untuk bertanding sebagai calon bebas, antaranya anggota veteran yang enggan memberi laluan kepada muka baru.
 
Antara yang keluar bertanding sebagai calon bebas ialah bekas anggota Parlimen Tasek Gelugor Datuk Seri Shariff Omar yang bertanding di kerusi Parlimen yang sama dan DUN Sungai Dua, bekas exco kerajaan negeri Fadzil Hanafi bertanding kerusi DUN Alor Mengkudu dan bekas naib ketua wanita Umno Datuk Kamilia Ibrahim di Parlimen Kuala Kangsar.
 
Anggota parti pakatan pembangkang juga ramai yang turut keluar parti dan menjadi calon bebas, termasuk penyandang kerusi Parlimen dan DUN yang tidak berpuas hati mereka tidak dicalonkan.
 
Dua daripada mereka anggota DAP iaitu Jenice Lee Ying Ha penyandang kerusi DUN Teratai dan penyandang kerusi Parlimen Kota Melaka Sim Tong Him.
 
Mengenai Felda, Najib berkata kerajaan BN akan melakukan pendekatan lebih sistematik bagi membawa perubahan besar kepada warga peneroka di negara ini, di mana bagi fasa kedua untuk 50 tahun akan datang, ia akan memfokuskan kepada usaha menjadikan Felda sebagai sebuah organisasai bertaraf antarabangsa.
 
"Usaha kita adalah untuk membawa perubahan besar menerusi program transformasi yang menggunakan teknologi baru, penduduk setempat boleh menggunakan teknologi baharu untuk menghasilkan produk tempatan dan tradisional untuk pasaran," katanya.
 
Di bawah projek 'Sentuhan Kasih Felda' ini, sebanyak 100 unit rumah akan dibina untuk generasi baru Felda, dan setiap rumah dengan keluasan 304.80 meter persegi itu turut diberi subsidi kerajaan dengan pemilik rumah hanya perlu membayar antara RM75,000 hingga RM85,000 bagi seunit rumah berkenaan.
 
Felda turut menyediakan pelbagai kemudahan dan rekreasi serta pusat latihan dan pembelajaran di kawasan perumahan itu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan