Sabtu, 27 April 2013

DAP MAHU HAPUSKAN RAJA-RAJA: TPM

Selepas dua tahun, isu cubaan menjadikan Malaysia negara republik oleh DAP dibangkitkan kembali; kali ini oleh Timbalan Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Sambil menyifatkannya "parti paling rasis", Muhyiddin mendakwa tembelang DAP - dengan mengetepikan nilai, sejarah dan jati diri negara bangsa berpaksikan kedaulatan Raja-raja Melayu dan Islam - semakin kelihatan.

"Masakan tidak, mereka berani mencadangkan supaya jawatan Perdana Menteri dipilih secara langsung dalam pilihan raya tanpa perlu dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong.

"Apa maknanya ini? Maknanya, sistem demokrasi berparlimen dan raja berperlembagaan yang kita amalkan selama ini sudah tidak sesuai lagi dengan tembolok mereka untuk melahap kuasa," kata timbalan perdana menteri.

Akhbar Utusan Malaysia pada 13 Disember 2009 melalui kolumnis kontroversinya Awang Selamat pernah membayangkan wujud usaha "sistematik menuju ke arah negara republik dengan sasaran utama untuk menulis semula perlembagaan."

Berucap ketika merasmikan persidangan tiga sayap Umno di Kuala Lumpur, Muhyiddin berkata, dominasi DAP di Selangor dan kemenangan di Pulau Pinang seolah-olah memberi lesen paling besar kepadanya untuk menyerlahkan sikap "cauvinis melampau".

"Namun, orang Melayu mesti berwaspada. Jangan sampai terpedaya dengan muslihat jahat DAP. Tujuan sebenar parti paling rasis ini bukanlah untuk memberi kuasa kepada orang Melayu, jauh sekali menyerahkan kepimpinan parti itu kepada orang Melayu.

"DAP hanya mahukan si Melayu yang malang ini menjadi kuda tunggangan yang kerjanya sekadar menjaga kepentingan cauvinis DAP," katanya.

Aliran Islam pembangkang

Bukan sahaja DAP, Muhyiddin juga mengambil peluang mengkritik dua lagi rakan Pakatan Rakyat PKR dan PAS.

Sambil menyifatkan PKR sebagai parti "ultraliberal" yang tiada asas moral dalam perjuangan, Muhyiddin mendakwa PKR sedang dibelenggu krisis kredibeliti.

"Walaupun satu pihak dalam PKR menggunakan hujah agama manakala satu pihak lagi menggunakan hujah ultraliberal melampau, matlamat mereka cuma satu, iaitu mempertahankan ketua umum mereka," katanya.

Manakala PAS pula dipersoalkan kerana didakwa menganggap sokongan DAP dan PKR lebih penting berbanding prinsip perjuangan sendiri.

"Nampaknya, apa yang berlaku hari ini bukan PAS Ganti Umno seperti yang dicanang oleh mereka. PAS takkan boleh menggantikan Umno kerana Umno tiada galang-ganti. Yang sebenarnya berlaku ialah DAP ganti PAS," katanya.

"Pemimpin DAP berceramah, penyokong PAS bertakbir. Tetapi apabila PAS menyebut tentang Negara Islam, pemimpin DAP lah yang pertama sekali mengecam PAS. Dan apabila dikecam, PAS diam seribu bahasa. Apa maknanya ini?"

Tindakan itu, dakwa Muhyiddin lagi bermakna DAP memberi definisi kepada Islam yang dianuti PAS dan menjadi penentu arah aliran Islam yang dibawa oleh pakatan pembangkang.

PAS sebelum ini mengetengahkan idea "PAS ganti Umno" melalui pelbagai seminar dan ceramah di seluruh pelosok negara ini.




Sumber: ASSU

Tiada ulasan:

Catat Ulasan