Selasa, 12 Mac 2013

LAHAD DATU : ZAHID HAMIDI CABAR PIHAK YANG MEMPERLEKEH DAN MENGHINA PASUKAN KESELAMATAN

KUALA LUMPUR 12 Mac - Mana-mana pihak yang berterusan memperlekeh dan menghina pasukan keselamatan negara dalam Ops Daulat diminta mendaftar diri ke kawasan operasi berkenaan bagi berdepan dengan pengganas Sulu bersenjata.
Kenyataan tegas itu dibuat Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi ekoran masih terdapat pihak-pihak tertentu khususnya kelompok media sosial melontarkan kritikan termasuk hinaan terhadap Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang terlibat mematahkan serangan pengganas di Sabah.
"Masih ada segelintir yang menghina, memperlekeh pasukan ATM dan PDRM. Saya harap mereka ini akan pergi ke kawasan-kawasan operasi berkenaan.

"Saya akan minta ATM sambut mereka dan lepaskan mereka ke barisan hadapan untuk menghadapi penceroboh-penceroboh ini,’’ katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas mengumumkan prestasi semasa Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) di Wisma Pertahanan, di sini hari ini.

Yang turut hadir Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd. Zin; Pengerusi LTAT, Tan Sri Mohd. Anwar Mohd. Nor dan Ketua Eksekutif LTAT, Tan Sri Lodin Wok Kamaruddin.

Ahmad Zahid berkata, walaupun mendapat kritikan dan hinaan, moral pasukan keselamatan negara dalam melaksanakan Ops Daulat masih tinggi.

"Untuk itu saya juga berharap perkara sama dapat diterjemahkan oleh rakyat,’’ jelasnya. - UTUSAN

Tiada ulasan:

Catat Ulasan