Sabtu, 9 Februari 2013

Pendaftaran BR1M dilanjutkan hingga 15 Mac

BR1M SENYUMAN UNTUK SEMUA


Putrajaya: Kerajaan memutuskan bahawa pendaftaran Bantuan Rakyat 1Malaysia 2.0 (BRIM 2.0) dilanjutkan sehingga 15 Mac depan, kata Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah.

“Kami beri tempoh sebulan lagi supaya mereka yang belum memohon akan dapat membuat permohonan.

“Falsafah kerajaan dalam konteks BR1M ialah untuk memastikan semua rakyat yang layak, mendapat BR1M,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan ucaptama pada Forum Ekonomi Perbendaharaan di sini, semalam.




Kerajaan memperuntukkan RM3 bilion untuk pusingan kedua skim bantuan berkenaan dalam usaha meringankan beban kewangan golongan berpendapatan rendah di samping merancakkan perbelanjaan domestik. 

Bantu isi rumah

Objektif utama BRIM 2.0 ialah untuk membantu isi rumah berpendapatan RM3,000 ke bawah dengan peruntukan sebanyak RM500 dan individu bujang berumur 21 tahun ke atas yang berpendapatan di bawah RM2,000 untuk menerima RM250.

Ahmad Husni berkata, kerajaan mendapati hampir semua pemohon yang layak menghantar permohonan mereka dan sehingga kini sebanyak 7.3 juta permohonan diterima. 
“Bagaimanapun, dalam proses menentukan kelayakan individu mendapat BR1M 2.0, pihak Lembaga Hasil Dalam Negeri mendapati terdapat pemohon yang memohon dua kali.

“Sekiranya mereka mohon dua kali satu permohonan akan ketepikan, hanya satu permohonan akan diproses,” katanya.

Contoh perdana

Sebelum itu, dalam ucapannya Ahmad Husni berkata, sumbangan menerusi BR1M 1.0 dan BR1M 2.0 adalah contoh perdana langkah bukan ortodoks yang dilaksanakan kerajaan sebagai sebahagian program ekonomi negara.

Katanya, di samping memberikan manfaat langsung kepada rakyat, bantuan berkenaan juga bertindak sebagai pemangkin untuk menyerap permintaan luar yang lemah susulan pertumbuhan perlahan rakan dagang tradisi negara.

“Paras kecairan yang kami limpahkan ke dalam ekonomi adalah cukup besar untuk membentuk kesan gandaan yang tinggi, namun tidak terlalu besar untuk mencetuskan sebarang tekanan inflasi dan (bantuan) adalah di dalam kapasiti kemampuan kerajaan,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan