KUALA LUMPUR – Perang psikologi yang dicetuskan oleh pembangkang kononnya mereka mampu menguasai 140 kerusi Parlimen dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) dengan menjadikan kemenangan di Sabah, Sarawak dan Johor bakal memberikan mereka majoriti mudah untuk menubuhkan kerajaan, tidak lebih dari sekadar untuk meredakan ketegangan yang melanda gabungan itu kebelakangan ini sekali gus untuk mengembalikan keyakinan penyokong mereka.
Menurut satu sumber, menjelang saat akhir menjelang PRU-13, risikan di peringkat dalaman gabungan pembangkang menunjukkan mereka akan kehilangan banyak kerusi. Perkembangan terbaru itu sedikit sebanyak membuatkan pemimpin-pemimpin pembangkang mulai resah.
Persepsi positif yang ingin ditonjolkan oleh pembangkang seperti mana yang disiarkan oleh portal berita The Malaysian Insider, sebenarnya tidak mencerminkan apa yang berlaku dalam gabungan pakatan pembangkang ketika ini. Biarpun diperingkat kepimpinan tertinggi Dap, Pas dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) nampak segalanya berjalan lancar, di peringkat akar umbi lain pula ceritanya.
Tinjauan bebas yang memihak kepada gabungan pembangkang hasil tinjauan sumber yang tidak dinamakan itu, menurut penganalisis politik sengaja dicipta untuk mencipta perang psikologi untuk meningkatkan keyakinan di kalangan penyokong mereka. Dan dalam masa yang sama untuk membuatkan Barisan Nasional (BN) berasa goyah. Sedangkan hakikatnya, keyakinan rakyat terhadap BN kebelakangan ini semakin bertambah dan penerimaan rakyat hari ini tidak sama seperti mana yang berlaku pada 2008.
Dalam Dap sendiri wujud ketidakyakinan terhadap kepimpinan parti ekoran pemilihan pucuk kepimpinan parti yang tidak telus. Pas pula terus bergelut dengan perbezaan pandangan antara golongan ulama dan kehendak majoriti akar umbi dengan pucuk kepimpinan. Begitu juga halnya dengan PKR yang turut berdepan dengan krisis kepimpinan selain kegagalan mereka dalam melaksanakan apa yang dijanjikan kepada rakyat Selangor.
Di peringkat kepimpinan pusat pula. pertelingkahan membabitkan Pas dengan Dap bukan perkara baru. Bermula dengan penggunaan kalimah Allah sehinggalah penolakan akar umbi Pas terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon perdana menteri. Antara PKR dan Dap pula masing-masing bersaing untuk mencari pengaruh – ingin menonjolkan diri untuk mengemudi gabungan pembangkang.
Jadi untuk mengatakan gabungan pembangkang berada pada posisi yang kuat dan terbaik untuk mengambil alih kerajaan, ia perlu dilihat daripada realiti sebenar ketika ini. Mutakhir ini jelas menunjukkan BN berada pada kedudukan terbaik – bukan sahaja untuk mempertahankan kerajaan tetapi juga berpeluang untuk kembali meraih majoriti dua pertiga.
Jika gabungan pembangkang yakin mampu menguasai lebih 140 kerusi dengan menjadikan Sabah, Sarawak dan Johor sebagai sasaran, berdasarkan satu sumber yang diperoleh oleh malaysiaaktif menunjukkan sebaliknya.
Menurut sumber tersebut, BN mampu menang sehingga 165 kerusi Parlimen, menambah 25 kerusi. Sementara gabungan pembangkang dijangka hanya mampu mempertahankan 57 kerusi – hilang hampir separuh daripada kerusi yang dimenangi. Sumber itu juga menyebut Pas bakal kehilangan lima kerusi, terutama di Kedah dan Kelantan.
Sementara Dap pula bakal kehilangan empat kerusi terutama di Perak dan Selangor, mungkin juga di Pulau Pinang. PKR pula dikatakan akan mengalami kejutan lebih hebat dan dijangka hanya mampu mempertahankan 16 kerusi parlimen. Kerusi yang hilang kebanyakkannya di Selangor, Kedah dan Wilayah Persekutuan.
Menurut sumber itu lagi, keyakinan terhadap kemenangan besar BN kali ini banyak dibantu oleh faktor kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib dan kejayaan program-program transformasi yang telah dan sedang dijalankan oleh kerajaan ketika ini.
Peningkatan sokongan terhadap kepimpinan beliau juga disebabkan percakaran dalam gabungan pembangkang yang sedikit sebanyak menggugat keyakinan rakyat. Selain itu kegagalan mereka dalam memenuhi janji-janji dan mengemukakan janji-janji baru yang tidak munasabah turut membuatkan rakyat sangsi dengan matlamat dan hala tuju gabungan pembangkang dalam mentadbir negara.
Mungkin analisa yang diberikan oleh Economist Intelligence Unit (EIU), sebahagian daripada majalah terkenal berpangkalan di London, The Economist, lebih berpaksikan kepada realiti sebenar. Dalam kenyataannya, EIU meramalkan BN akan memenangi PRU-13 berdasarkan kepada rekod pencapaiannya yang baik, agenda pembaharuan yang dilakukan oleh perdana menteri serta kepimpinan ekonomi beliau yang berjaya.
Menurut laporan itu lagi, ia berbeza dengan gabungan pembangkang yang hanya pandai membuat janji untuk mendapatkan kuasa di mana ia dilihat sebagai penghalang terbesar kepada pembangkang untuk memenangi hati rakyat walaupun mereka sendiri menyedari tidak sesuai dan sesuatu yang amat sukar untuk melaksanakan semua janji-janji kempen mereka.
Walaupun mungkin ada yang percaya dan yakin dengan kemampuan pembangkang, dalam membuat perkiraan, ia perlu melihat kepada realiti semasa. Situasi hari ini jauh berbeza dengan apa yang berlaku pada 2008. Malah isu yang timbul juga berbeza.
Sumber: MalaysiaAktif
Sumber: MalaysiaAktif
Tiada ulasan:
Catat Ulasan