Selasa, 19 Mac 2013

BN GELANG PATAH TAK GENTAR KIT SIANG!!!


PENGUNDI BIJAK PILIH, NILAI REKOD PRESTASI CALON


Barisan Nasional (BN) Gelang Patah tidak gentar mendepani cabaran Penasihat DAP, Lim Kit Siang, yang diumumkan sebagai calon pembangkang untuk bertanding merebut kerusi Parlimen itu pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRA-13)

Pengerusi BN Gelang Patah, Datuk Abdul Aziz Sapian, secara sinis mengalu-alukan Kit Siang atau sesiapa saja calon pembangkang bertanding bagi kerusi dalam Parlimen Gelang Patah.

"Kita sudah sedia berlawan kerana BN terbukti dalam membela nasib rakyat khususnya masyarakat Gelang Patah. Saya yakin pengundi sedar siapa wakil rakyat yang paling mengambil berat mengenai nasib mereka selama ini selepas diberi mandat.

"Pengundi Gelang Patah boleh membuat penilaian sendiri mengenai parti yang benar-benar berjuang untuk kepentingan mereka dengan menjadikan Dewan Undangan Negeri (DUN) Skudai yang diwakili Pengerusi DAP Johor, Dr Boo Cheng Hau, sejak 2008 sebagai contoh," katanya.

Abdul Aziz mengulas pegumuman pemilihan Kit Siang sebagai calon DAP mengantikan PKR untuk bertanding merebut kerusi Parlimen Gelang Patah yang selama ini dikuasai BN menerusi calon MCA pada PRU-13.

105,000 pengundi
Pada PRU 2008, calon BN, Tan Ah Heng daripada MCA, mempertahankan kerusi Parlimen Gelang Patah buat penggal kedua dengan mengalahkan calon PKR, SK Song, dengan majoriti lebih 8,000 undi.

Parlimen Gelang Patah yang mempunyai lebih 105,000 pengundi, terdiri daripada kerusi DUN Nusajaya yang diwakili Abdul Aziz, manakala DUN Skudai disandang Dr Boo sejak 2008.

Abdul Aziz berkata, pengundi DUN Skudai terutama masyarakat cina kini mempertikaikan prestasi wakil rakyat mereka yang hanya pandai bermain politik dan tidak mempedulikan kebajikan rakyat.

Sementara itu, pengumuman Kit Siang akan bertanding kerusi Parlimen Gelang Patah dilakukan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika berucap pada sambutan ulang tahun ke-47 DAP di Taman Sutera Utama, Skudai, malam tadi.

Majlis berkenaan turut dihadiri Pengerusi DAP, Karpal Singh; Kit Siang; setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dan Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu.

Bagaimanapun, kelibat Pengerusi PKR Johor, Datuk Chua Jui Meng, tidak kelihatan pada Majlis itu.

Anwar mendakwa isu perebutan kerusi Parlimen Gelang Patah dianggap selesai walaupun sebelum ini berlaku pertelagahan antara Jui Meng dan Dr Boo.

"Memang ada sedikit masalah yang timbul, tetapi Kit Siang memberitahu saya, beliau sudi bertanding kerusi Gelang Patah dan saya menyokong penuh hasrat," katanya

-BERITA HARIAN



Tiada ulasan:

Catat Ulasan