PEMBANGKANG MEMANG KERAS HATI...TIDAK CUKUP DENGAN ISU TIAN CHUA.. !!
SUNGAI PETANI - Anggota keselamatan beragama Islam yang terbunuh
dalam Operasi Daulat di Sabah kerana mempertahankan negara adalah syahid
akhirat dan bukan syahid dunia, kata Mufti Kedah Datuk Sheikh Mohamad
Baderuddin Ahmad.
Beliau berkata mempertahankan negara adalah fisabilillah yang wajib
bagi umat Islam kerana ia sama seperti berjuang menegakkan agama.
Katanya anggota polis dan tentera yang terbunuh bagi membanteras
kumpulan pengganas di Lahad Datu dan Semporna, Sabah tidak wajib
dimandi, dikafan dan disembahyangkan.
"Dalam kes ini tidak kira penyerang penganut Islam atau kafir,
anggota pasukan keselamatan yang terbunuh tetap syahid akhirat," kata
Mohamad Baderuddin ketika menyampaikan tazkirah pada majlis Istighazah
Al-Kubra di Masjid An-Naim Markas 6 Briged Kem Lapangan Terbang di sini,
hari ini.
Program anjuran Majlis Perundingan Melayu (MPM) dengan kerjasama
Markas 6 Briged itu dihadiri kira-kira 1,500 orang anggota tentera,
polis dan awam termasuk Timbalan Menteri Perdagangan Antarbangsa dan
Industri Datuk Mukhriz Tun Mahathir dan Ketua Umno Bahagian Merbok Datuk
Tajul Urus Mat Zain.
Mufti itu turut mengingatkan masyarakat supaya menghargai keamanan
kerana dalam suasana aman sahaja ekonomi negara berkembang menjadi
mantap, negara berupaya membangun dan rakyat tidak berada dalam
ketakutan.
"Golongan yang menolak perpaduan dan enggan bersatu atas nama Islam
dianggap kufur dan mereka pasti menerima azab Allah SWT kelak," katanya.
Sementara itu, Mukhriz berkata langkah MPM sebagai badan bukan
kerajaan (NGO) menganjurkan program agama seumpama itu merupakan
tindakan tepat untuk menyatupadukan umat Melayu dan Islam yang dilihat
telah berpecah.
Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kedah itu berkata
perpecahan orang Melayu berlaku kerana mereka terlalu banyak berpolitik
sehingga isu pencerobohan pengganas di Sabah yang mengancam keselamatan
negara turut dipolitikkan.
"Kerana mahu melihat perpaduan orang Melayu kembali utuh...saya yakin
usaha berterusan MPM dengan membabitkan masyarakat secara menyeluruh
akan mengubah minda orang Melayu untuk menerima Islam sebagai agenda
bersama," katanya.
Program Istiqhazah Al-Kubra yang bermaksud 'memohon pertolongan Allah
SWT' itu bermula dengan solat sunat tahajud, hajat, witir dan bacaan
Yassin dan tahlil untuk wira negara yang terkorban di Lahad Datu sebelum
solat Subuh dan diikuti tazkirah dan membaca doa Istiqhazah.
SUMBER [BERNAMA]
Tiada ulasan:
Catat Ulasan