BR1M SENYUMAN UNTUK SEMUA
Putrajaya: Kerajaan memutuskan bahawa pendaftaran Bantuan Rakyat 
1Malaysia 2.0 (BRIM 2.0) dilanjutkan sehingga 15 Mac depan, kata Menteri
 Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah.
“Kami beri tempoh sebulan lagi supaya mereka yang belum memohon akan dapat membuat permohonan.
      “Falsafah kerajaan dalam konteks BR1M ialah untuk memastikan semua
 rakyat yang layak, mendapat BR1M,” katanya kepada pemberita selepas 
menyampaikan ucaptama pada Forum Ekonomi Perbendaharaan di sini, 
semalam.
      
Kerajaan memperuntukkan RM3 bilion untuk pusingan kedua skim
 bantuan berkenaan dalam usaha meringankan beban kewangan golongan 
berpendapatan rendah di samping merancakkan perbelanjaan domestik. 
Bantu isi rumah
Objektif utama BRIM 2.0 ialah untuk membantu isi rumah berpendapatan 
RM3,000 ke bawah dengan peruntukan sebanyak RM500 dan individu bujang 
berumur 21 tahun ke atas yang berpendapatan di bawah RM2,000 untuk 
menerima RM250.
Ahmad Husni berkata, kerajaan mendapati hampir 
semua pemohon yang layak menghantar permohonan mereka dan sehingga kini 
sebanyak 7.3 juta permohonan diterima. 
“Bagaimanapun, dalam proses menentukan kelayakan individu 
mendapat BR1M 2.0, pihak Lembaga Hasil Dalam Negeri mendapati terdapat 
pemohon yang memohon dua kali.
“Sekiranya mereka mohon dua kali satu permohonan akan ketepikan, hanya satu permohonan akan diproses,” katanya.
Contoh perdana
Sebelum itu, dalam ucapannya Ahmad Husni berkata, sumbangan menerusi 
BR1M 1.0 dan BR1M 2.0 adalah contoh perdana langkah bukan ortodoks yang 
dilaksanakan kerajaan sebagai sebahagian program ekonomi negara.
Katanya, di samping memberikan manfaat langsung kepada rakyat, bantuan
 berkenaan juga bertindak sebagai pemangkin untuk menyerap permintaan 
luar yang lemah susulan pertumbuhan perlahan rakan dagang tradisi 
negara.
“Paras kecairan yang kami limpahkan ke dalam ekonomi 
adalah cukup besar untuk membentuk kesan gandaan yang tinggi, namun 
tidak terlalu besar untuk mencetuskan sebarang tekanan inflasi dan 
(bantuan) adalah di dalam kapasiti kemampuan kerajaan,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan